Wednesday, January 7, 2009

Who Said Razaleigh Crave for Power?

From: UM
Date: 24 May 1999
Time: 01:57:00


Comments
KOMEN:

INILAH YANG MEYAKINKAN KITA BAHAWA REFORMASI POLITIK PERLU DIBUAT DI NEGARA KITA SEKARANG. JIKA TERDAPAT ORANG-ORANG MACAM KU LI MAKA ROSAK LAGILAH MALAYSIA.

KITA HORMATI PANDANGAN BELIAU TAPI NAMPAKNYA IA TIDAK MENUNJUKKAN REALITI YANG SEBENAR.

NAMPAKNYA KU LI TAK SERIK-SERIK LAGI DIPERMAIN-MAINKAN DAN DIPERBODOH-BODOHKAN OLEH TUAN HJ. DR MAHATHIR.

IA TIDAK MENGAMBIL KIRA GELOMBANG ARUS PERDANA YANG BERLAKU DI NEGARA KITA SEKARANG.

JAWAPAN KITA ADALAH KITA BERIKAN PUKULAN MAUT UNTUK TUAN HJ. DR MAHATHIR DAN MANA-MANA PEMIMPIN YANG BERSEKUTU DENGANNYA.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Pas tak kuat - Razaleigh

MUKADIMAH BERIKUT ialah sambungan wawancara khas wartawan Utusan SIRAJUDDIN RAFIA dan OTHMAN MOHAMMAD dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang disiarkan di Mingguan Malaysia, semalam.

KEBANYAKAN rakyat kini merasakan negara sudah mulai kembali tenang. Kemantapan dan kesetabilan politik juga dirasakan tidak banyak terjejas walaupun dengan tercetus 'gerakan reformasi' yang pastinya akan dapat ditangani dengan berkesan oleh UMNO. Keadaan ekonomi negara juga dikatakan mulai bercahaya kembali. Apakah pendapat Tengku, adakah pilihan raya sudah cukup sesuai diadakan sekarang atau tunggu sehingga ke akhir tempoh tahun depan?

Ku Li: Pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa. Itu hak Perdana Menteri untuk menentukannya. Lagipun dalam sejarah, soal ekonomi bukanlah penentu terbesar keputusan pilihan raya.

Dalam pilihan raya umum 1986, waktu itu pun ekonomi kita teruk, zaman meleset, ramai menganggur, termasuk siswazah. Keadaan di kampung lebih susah. Harga kelapa sawit dan getah jatuh menjunam. Bila pilihan raya, kita (UMNO) menang juga. Malah paling besar dalam sejarah. Pas tinggal satu kerusi sahaja di Dewan Rakyat.

POLITIK KELANTAN UMNO Kelantan amat yakin akan merampas kembali teraju pemerintahan Kelantan daripada Pas dalam pilihan raya umum kali ini. Namun, ada pula yang percaya dengan perkembangan dalam UMNO sekarang, Pas bukan sahaja akan kembali memerintah Kelantan, malah akan pasti sapu bersih. Apakah pula pendapat Tengku sendiri?

Ku Li: Politik Kelantan sukar diramal. Sukar nak terima kemungkinan Pas sapu bersih negeri itu. Masalahnya kini, walaupun pendokong UMNO asal, sudah kembali di bawah satu payung UMNO, namun penyatuan dan perpaduan yang hakiki masih belum benar-benar wujud. Insya-Allah kalau masalah ini dapat diatasi segera, saya percaya Kelantan dapat diambil semula oleh UMNO.

Tengku sendiri pernah mengetuai parti S46 yang menentang UMNO di Kelantan dan daripada pengalaman semasa berada di luar UMNO itu, apakah pada pandangan Tengku kelemahan-kelemahan UMNO Kelantan sendiri dan apakah yang harus dilakukan oleh UMNO Kelantan kini jika ia benar-benar hendak menjadikan keyakinan menumpaskan Pas itu sebagai suatu realiti?

Ku Li: Pas atau mana-mana parti pembangkang, hanya kuat kalau UMNO pecah. Orang UMNO, di semua peringkat mesti cari jalan supaya bersatu dan tak pecah lagi. Buktikan UMNO boleh satukan semua orang Melayu termasuk dari kalangan Pas juga. Pemimpin mesti turun ke bawah, dampingi rakyat, terangkan ideologi perjuangan UMNO. Tegaskan dalam UMNO, soal masa depan ummah Melayu-Islam lebih penting daripada soal kebendaan. Terangkan betapa pentingnya agenda UMNO menegakkan syiar Islam, mengangkat martabat bahasa kita, budaya kita dan kedudukan Melayu-Islam di negara ini. Berhujahlah dengan mereka kenapa perjuangan ini lebih hebat daripada perjuangan Pas dan parti-parti lain.

Bandingkan apa yang terjadi kepada nasib Melayu atau umat Islam di negara-negara lain sekiranya mereka berpecah dan hilang kuasa politiknya. Tonjolkan kejayaan dasar-dasar UMNO seperti DEB yang telah menjadikan negara kita makmur, stabil dan lebih baik dari negara-negara lain walaupun satu ketika dahulu banyak dikritik oleh pembangkang. Tunjukkan keperibadian kita yang baik, ikhlas, jangan korup atau berbangga dengan korupsi. Semua ini penting agar orang tertarik dengan UMNO, terutamanya anak-anak muda yang idealismenya tinggi, tetapi tidak kenal UMNO dan tidak menghayati UMNO sebagai institusi penting orang Melayu, Islam dan negara keseluruhannya.

Tidak dapat dinafikan bahawa Tengku sendiri turut bertanggungjawab menumbangkan UMNO di Kelantan dulu melalui kerjasama S46-Pas. Jadi ada yang berpendapat sekarang ini Tengku juga mesti bertanggungjawab untuk mengembalikan UMNO menerajui pemerintahan negeri.

Ku Li: Tanggungjawab untuk mengembalikan Kelantan kepada UMNO adalah tanggungjawab bersama. Saya sendiri, insya-Allah akan cuba sedaya upaya saya. Lagipun UMNO telah kuat kalau diambil kira lebih 100,000 bekas anggota Semangat 46 yang menyerahkan borang permohonan mereka menyertai UMNO dalam tahun 1996. Di kalangan mereka ramai aktivis politik yang amat berguna untuk kekuatan UMNO. Tambahan tenaga dan pengundi sejumlah ini sepatutnya sudah cukup untuk memenangkan UMNO di Kelantan. Lainlah kalau pemimpin bahagian-bahagian UMNO di negeri Kelantan tidak memanfaatkannya, mungkin jumlah ini tidak ke mana-mana. Alhamdulillah baru-baru ini dengan kelulusan 53 cawangan baru UMNO di Gua Musang, beribu-ribu ahli dan pengundi baru UMNO bertambah di kawasan itu. Insya-Allah semua ini akan membantu kekuatan UMNO di negeri Kelantan. Saya harap di tempat-tempat lain termasuk di luar Kelantan juga begitu.

Baru-baru ini Tengku kata Tengku memang tidak layak memimpin UMNO negeri kerana tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan. Ada pula yang percaya Tengku hanya cuba merendah diri atau trying to be modest.

Ku Li: Saya benar-benar ikhlas dengan kenyataan itu!

Ramai berpendapat kekuatan Pas di Kelantan bukan kerana Pas itu kuat atau kerana Datuk Nik Aziz tetapi kerana kelemahan UMNO sendiri.

Ku Li: Seperti yang dikatakan, Pas sebenarnya tak kuat. Dia pernah kalah dan boleh dikalahkan. Malah, Pas pernah dikalahkan dengan teruk. Lihatlah pilihan raya negeri Kelantan tahun 1978 dan pilihan raya umum 1986. Tidakkah Pas juga pernah tersungkur? Semua bergantung pada UMNO sendiri, sama ada mahu bersatu atau tidak, mahu menang atau tidak...!

PELANTIKAN TPM Nama Tengku menyerlah dan memuncak sekali di saat-saat kekosongan jawatan Timbalan Perdana Menteri tempoh hari. Pada pandangan Tengku, apakah di antara sebab-sebab yang mendorong sesetengah kalangan melayakkan Tengku ditonjolkan sebagai salah seorang contender bagi mengisi jawatan itu?

Ku Li: Ini semua cakap-cakap orang. Saya bukanlah pesaing untuk jawatan itu (Timbalan Perdana Menteri) kerana saya hanya ketua bahagian dan tiada kedudukan dalam parti. Perkara ini saya sudah jelaskan kepada ramai orang, termasuk pucuk pimpinan parti.

Tidak dapat dinafikan bahawa penonjolan nama Tengku itu juga telah sedikit sebanyak menaikkan semangat kebanyakan rakyat Kelantan. Ini tentulah membawa harapan yang tinggi bagi ahli-ahli UMNO di Kelantan juga. Namun, tentulah ada yang kecewa apabila akhirnya Pak Lah yang terpilih. Adakah Tengku juga merasai kekecewaan yang sama atau memang dari awal lagi Tengku sudah menduganya?

Ku Li: Dari awal lagi. Malah, bila dibubarkan Parti Semangat 46 dulu, saya dah katakan ia hanya untuk penyatuan Melayu dan saya tak mahukan apa-apa pelantikan untuk diri saya. Jadi, tidak ada sebab untuk saya kecewa. Ini ikhlas, bukannya cakap-cakap politik.

Saya dah jadi ahli MT UMNO sejak tahun 1963. Pada waktu itu, saya bukan sahaja tak mahu jadi menteri, tawaran jadi calon pilihan raya di kerusi Hulu Kelantan yang saya pimpin pun saya tolak, walaupun tempat itu selamat bagi UMNO. Di tahun 1973, saya jadi Naib Presiden UMNO dan masih tolak jawatan menteri kabinet. Ketika itu, niat saya hanya untuk berkhidmat kepada UMNO bukannya nak jadi menteri.

Saya hanya terima jawatan menteri dalam tahun 1976 kerana memenuhi wasiat (Allahyarham) Tun Razak yang menyatakannya sendiri kepada saya di London beberapa minggu sebelum beliau meninggal dunia. Lepas kematian Allahyarham Tun Razak pula, ada ura-ura kononnya (Allahyarham) Tun Hussein Onn (PM ketika itu) ingin melantik orang yang bukan di kalangan Naib Presiden parti jadi timbalannya.

Saya bersama Dr. Mahathir dan Tun Ghafar (Naib Presiden ketika itu) menemuinya dan menyatakan tak bersetuju kalau orang yang di luar hierarki parti dilantik memenuhi jawatan tersebut. Bukan kerana apa, tetapi takut parti pecah. Saya sendiri awal-awal meminta dikecualikan daripada pilihan beliau. Semua ini ada sejarahnya, ia bukan perkara baru dan diada- adakan.

Jadi memang benarlah soal tradisi parti menjadi persoalan utama?

Ku Li: Memang benar. Malah, sebelum pelantikan Pak Lah sebagai Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini pun saya ada pergi jumpa PM, lebih kurang 10 hari atau dua minggu sebelum pelantikan itu, saya pergi jumpa PM. Saya tanya dia, pasal apa dia nak jumpa saya. Dia kata, pasal dia nak minta pandangan mengenai pelantikan TPM.

Saya tanya dia what's all about? Dia kata, sebab dia dipressure oleh MB-MB dan golongan lain menyebabkan dia terpaksa menimbang semula keputusan dia, kerana pada mulanya dia tak nak lantik, dia nak serahkan kepada parti menentukannya. Tapi dia kata nampak sekarang ini pressure tu kuat, dia kena lantik.

Dia tanya pandangan saya. Saya kata, pandangan yang saya boleh bagi cuma you go back to tradition.

Saya ingatkan balik sejarah yang saya sebutkan tadi semasa Tun meninggal, semasa kita bertiga Naib Presiden berjumpa Tun Husssein apabila dia nak lantik orang luar daripada MT dan Naib Presiden. Saya kata tak kenalah Datuk (Tun Hussein), kita tak setuju, in the absence of Timbalan Presiden, kita kena ambil dari kalangan Naib Presiden. Dan begitulah juga pandangan saya kepada Dr. Mahathir baru-baru ini. Saya kata simple saja, you lantik salah seorang Naib Presiden untuk jadi TPM, kalau you nak buat pelantikan sekarang. Itu saja yang saya cadangkan. Saya kata, kalau dah daripada tiga, dua sahaja yang masih boleh bertugas, jadi you pilih salah seoranglah. Jadi tak betullah orang kata saya kecewa. Kecewa apa?

Lagipun, cuba bayangkan, kalau berlaku sesuatu pada Dr. Mahathir, dan kalau seseorang yang menjadi TPM tidak duduk dalam hierarki parti, susah. Kalau berlaku pada Dr. Mahathir, kena strok ke, Mahathir mati ke, Mahathir terpaksa berhenti ke, orang ini kena dirujuk balik kepada parti. Parti akan buat keputusan, mungkin keputusan yang tak memihak kepada orang yang memegang jawatan itu. So it's not possible.

Kerana itulah kalau saya ditawarkan pun saya tak boleh terima. Kalau saya cakap sekarang tentulah orang kata saya sour grape. Tapi dengan ikhlas saya kata, saya cakap semua kawan-kawan, tak boleh. Kalau Dr. Mahathir tawar pun saya tak boleh terima. Inikan pula dia tak tawar. Dia cuma minta pandangan sahaja, jadi saya katakan dia patut lantik salah seorang daripada Naib Presiden. It was for the good of the party. I am not important.

Ada pula yang membuat andaian kononnya Perdana Menteri mempunyai agenda lain untuk Tengku di masa akan datang?

Ku Li: Saya tidak ada apa-apa komen. Ini sekadar cakap-cakap orang sahaja dan semua orang bebas memberi pendapat.

Saya sendiri tak tahu tentang apa-apa agenda.

Kononnya Tengku akan terus ke peringkat Presiden?

Ku Li: Tak naklah...

Atau mungkin terus bertanding lawan Dr. Mahathir lagi?

Ku Li: Saya tak mahu nak kata apa yang Tuhan tak tentukan. Tapi, kalau boleh, tak naklah.

Lagipun, I am not indispensible, orang lain ramai lagi yang baik-baik. Pak Lah ada...

Ada sesetengah orang melihat Tengku lebih baik? Malah ramai yang sudah kerja keras supaya Tengku dilantik TPM baru-baru ini.

Ku Li: Saya dah cakap, ikhlas saya cakap, kerana Allah saya cakap. ''I won't accept kalau PM offer pun. I told him. I am not interested. Kerana tadilah, kerana saya tak ada kedudukan dalam parti. Kalau sesuatu berlaku pada Dr. Mahathir, saya kena berhenti... jadi stopgap, tak guna.

Lagipun, saya dengan Dr.Mahathir pun saya tak tahu saya ini masih secocok ke tidak dengan dia.

Jadi nak tunggu selepas Dr. Mahathir tak ada baru Tengku nak cuba?

Ku Li: Tak, tak. Selepas pilihan raya umum ini kita tengoklah.

So there's no possibility that you'll make a come back during Dr. Mahathir's reign (Jadi tidak ada sebarang kemungkinan Tengku akan kembali semasa di bawah kepimpinan Dr. Mahathir)?

Ku Li: Tak, saya tak kata begitu. Saya kata, selepas pilihan raya ini kita tengoklah.

Tidak syak lagi ramai percaya Tengku sendiri memang akur dengan keputusan Perdana Menteri itu. Malah setiap rakyat merasakan pelantikan Pak Lah itu memang bertepatan sekali.

Ku Li: Saya sudah nyatakan ucapan tahniah saya padanya. Masa dan peluang pula harus diberi untuk beliau laksanakan tanggungjawabnya. Selebihnya terserahlah pada dirinya sendiri untuk buktikan kebolehannya. Soal sama ada beliau berjaya atau tidak, orang UMNO dan rakyatlah yang akan menilainya. Bukankah semua itu untuk rakyat?

POLITIK UMNO Walau apa pun, rata-rata ahli UMNO masih meletakkan harapan yang tinggi terhadap Tengku sebagai salah seorang pemimpin yang berwibawa. Mereka tidak mahu melihat Tengku tenggelam begitu sahaja dalam arena politik negara. Apakah perancangan masa depan Tengku sendiri dalam menentukan harapan ini tidak dikecewakan? Tidakkah pertandingan di peringkat pucuk pimpinan parti menjadi salah satu agenda perancangan tersebut?

Ku Li: Hingga kini, saya belum ada apa-apa rancangan. Apa yang boleh saya sumbangkan untuk UMNO akan saya cuba. Soal masa depan saya, saya serahkan kepada bahagian-bahagian UMNO seluruh negara. Mereka lebih mampu menentukan masa depan UMNO dan orang Melayu kita.

Walaupun jawatan Timbalan Perdana Menteri telah diisi, tetapi jawatan Timbalan Presiden UMNO masih kosong. Pada pendapat Tengku selaku seorang yang berpengalaman dalam politik, adakah ini suatu langkah yang bijak, lebih-lebih lagi apabila terdengar pula suara-suara yang menganggap penangguhan pemilihan itu sebagai menafikan hak demokrasi ahli untuk memilih pemimpin?

Ku Li: Perdana Menteri berhak menentukan siapakah timbalannya. Jawatan Timbalan Presiden UMNO pula adalah hak ahli menentukannya. Ini dua jawatan yang berbeza.

Jadi apa yang dibuat oleh Perdana Menteri melantik timbalannya walaupun ia bukan Timbalan Presiden Parti bukanlah suatu yang luar biasa.

Ada pula yang merasakan penangguhan itu hanyalah melambatkan the inevitable, kerana lambat-laun ia akan terpaksa diadakan juga. Jadi lebih baik ia diadakan sekarang daripada membiarkan ahli-ahli memendam rasa terlalu lama. Apa pendapat Tengku?

Ku Li: Lambat atau disegerakan pemilihan jawatan dalam parti mesti mengambil kira pelbagai sudut. Ini termasuk dari segi peruntukan perlembagaan dan kesesuaian masa.

Pelantikan Timbalan Perdana Menteri dibuat setelah Perdana Menteri menerima tekanan supaya beliau melantik bakal penggantinya untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketiadaan beliau. Tetapi tidak demikian pula di dalam UMNO?

Ku Li: Saya kira, UMNO adalah sebuah parti politik yang paling matang dalam negara kita. Sudah tentu ia ada mekanisme yang cukup kuat untuk menentukan soal masa depannya sendiri termasuk soal kepimpinan. Lihat sahaja perlembagaan parti, termasuk yang baru dipinda mengenai cara pemimpin kita dipilih. Semuanya ada di dalamnya, dan kita mesti patuh kepadanya.

Sekiranya Tengku tidak ada niat untuk bersara daripada politik buat masa ini, dan Tengku juga tidak ada perancangan untuk bertanding di peringkat pucuk pimpinan parti, sejauh manakah Tengku mampu memainkan peranan dalam arena politik tanah air dan sejauh manakah pencapaian Tengku dalam karier politik Tengku sendiri, kalau hanya dengan sekadar memegang jawatan ketua bahagian dan ahli Parlimen Gua Musang?

Ku Li: Seperti yang saya katakan tadi, tanggungjawab saya ialah bagaimana untuk berkhidmat kepada orang Melayu, UMNO dan negara! Soal jawatan dan kedudukan bukan saya yang menentukannya. Itu terpulang kepada anggota UMNO dan rakyat.

PENDAPAT PERIBADI Cara nak lawan Pas di Kelantan?

Ku Li: Paling utama ialah kena senantiasa berdampingan rapat dengan rakyat. Ini Pas sentiasa di atas masjid, atas madrasah siang malam, tetapi kita pergi balik sebagai pelancong saja, sekali dua tiga bulan.... jumpa rakyat pun, assalamualaikum dari jauh sambil lambai-lambai tangan saja. Kalau kita tak boleh sentiasa bersama rakyat mana boleh nak lawan mereka.

Kalau (Datin Seri) Dr. Wan Azizah (Ismail) lawan Dr. Mahathir di Kubang Pasu?

Ku Li: Dr. Mahathir pasti menang. Siapa lawan pun dia menang. Sama juga kalau saya lawan, bukanlah saya nak mendahului Tuhan, tetapi mengikut kira-kira dan tradisi Melayulah, mereka tak pernah tolak pemimpin. Melainkan, kalaulah pemimpin itu buat dosa besar. Jadi Dr. Mahathir pasti akan menang. Demikian juga dengan Pak Lah, dan inilah kerusi-kerusi yang Pas akan bagi kepada Keadilan, termasuk kerusi saya di Gua Musang.

Kemungkinan Perlis, Terengganu, Kedah jatuh ke tangan Pas?

Ku Li: Saya yakin Kedah pasti susah nak jatuh ke tangan Pas, sebab kebanyakan kerusi adalah mixed constituency. Kebanyakannya ada 25 hingga 30 peratus pengundi bukan Melayu. Itu menyelamatkan UMNO. Kalaupun separuh pengundi Melayu pergi kepada Pas, ia (Pas) tak boleh menang kerana tak dapat undi bukan Melayu. Itu pendapat sayalah... negeri macam Terengganu pun susah Pas nak menang, kecuali orang UMNO sendiri yang bagi peluang kepada pembangkang.



Last changed: May 24, 1999

No comments:

Post a Comment